Thursday, July 10, 2014

Sejarah dan asal usul guli

Permainan guli, yang juga dinamakan sebagai Kelereng, merupakan permainan tradisional melayu yang digemari oleh kanak-kanak pada masa lapang mereka. Ia biasanya dimain oleh kanak-kanak lelaki yang berumur antara tujuh hingga dua belas tahun. Mereka biasanya bermain di tempat yang teduh. Guli juga, biasanya, dimain pada musim panas atau kemarau. Ini kerana pemain mengharapkan tanah kering untuk lubang yang akan digali. Apabila tanah becak, permainan guli tidak seronok kerana buah guli akan menjadi lenget.
Pada zaman dahulu, potongan-potongan kayu dibulatkan sebesar sebiji telur ayam untuk dijadikan sebuah guli. Selepas Perang Dunia Pertama, guli dibuat dari bahan kapur yang diadun dengan simen. Ia sebesar ibu jari kaki. Sekarang, guli diperbuat dari bahan-bahan kaca dengan ukuran yang pelbagai saiz, dari ukuran jari kaki kelingking hingga ibu jari kaki.
Guli dimainkan secara melontarkan guli dengan tepat dengan mengenakan sasarannya. Jumlah pemain pula tidak melebihi lima orang. Kawasan tanah rata dan lapang merupakan kawasan yang paling sesuai untuk menjadi gelanggang bermain guli. Guli yang digunakan sekarang diperbuat daripada kaca.
Gelanggang:
Satu bulatan dilukiskan di atas tanah yang berukuran garis pusat 1m.
Sebuah lubang sebesar 10sm, lebar dan sedalam 7sm dilekukkan di tengah-tengah bulatan.
Tanah dilekukkan dengan menghentakkan tumit kaki ke tanah.
Lubang tersebut dinamakan lubang induk.
Satu garisan lurus dibina dengan jarak 3m daripada bulatan besar tersebut.
Garisan ini adalah penanda mula tempat permainan.

Sejarah dan asal usul batu seremban

 







Batu Seremban juga dikenali sebagai Batu Selambut atau Serembat. Permainan tradisional ini digemari oleh kanak-kanak perempuan. Ia biasanya dimain secara berkumpulan iaitu dua orang atau lebih. Objek-objek seperti guli kaca, biji getah, ketulan batu kerikil sederhana besar atau ketulan-ketulan objek lain yang berbentuk bulat boleh digunakan dalam permainan ini. Objek-objek ini dikenali sebagai buah.
Permainan batu seremban ini selalunya dimain pada waktu lapang – di serambi rumah, di dalam rumah atau di mana sahaja asalkan terdapat permukaan lantai yang rata. Pemain juga harus duduk diatas lantai supaya ianya lebih senang dimainkan. Dalam permainan Batu Seremban, Terdapat beberapa peringkat atau cara sambutan buah yang berlainan. Permainan ini akan bermula dengan peringkat pertama yang mudah, di mana sebiji buah yang dinamakan buah satu digunakan, sehingga ke peringkat yang lebih sukar atau peringkat yang teratas dinamakan buah lapan.

Cara bermain batu seremban


Permainan batu seremban mempunyai cara bermainnya yang tersendiri. Seperti permainan yang lain, batu seremban juga ada peringkatnya yang digelar sebagai buah. Keseluruhannya, batu seremban mempunyai lapan peringkat yang perlu dilalui oleh pemain sebelum dikira sebagai pemenang.

Buah Satu:
*Kesemua buah hendaklah diselerakkan, dimana kedudukan semua buah tidak menyentuh antara satu sama lain.
*Sebiji buah akan dijadikan ibu, dan ibu itu harus dilambungkan ke udara.
*Dalam masa yang sama, sebiji buah di atas lantai harus dikutip.
*Proses ini akan berterusan sehingga semua buah di atas lantai sudah dikutip.
Buah Dua:
*Cara buah dua dimainkan ialah sama seperti buah satu.
*Hanya dua biji buah harus dikutip dengan masa yang sama.
*Ini bermakna, ibu akan dilambungkan sebanyak dua kali sahaja.
Buah Tiga:
*Buah tiga ada sedikit perbezaan.
*Pada lambungan pertama, hanya satu biji buah akan dikutip.
*Lambungan yang kedua pula, tiga biji buah akan dikutip dengan serentak.
Buah Empat:
*Buah ibu akan dilambungkan ke udara.
*Pada masa yang sama, pemain harus mengutip kesemua empat biji buah yang berada di lantai dengan serentak.
Buah Lima:
*Buah lima akan dimainkan seperti buah empat.
*Pemain harus melambungkan buah ibu ke udara dan mengutip keempat-empat biji buah diatas lantai dengan serentak.
*Selepas itu, buah ibu harus dilambungkan ke udara dan pada masa yang sama, empat biji buah yang ada di dalam tangan pemain harus diletakkan di atas lantai supaya hanya buah ibu sahaja yang akan disambut.
Buah Enam:
*Pada peringkat yang keenam, pemain akan mendapat sedikit perbezaan.
*Pada peringkat ini, pemain akan mendapat bahawa dua biji buah akan menjadi buah ibu.
*Apabila sebiji daripadanya dilambung ke atas udara, sebiji lagi buah ibu harus ditukar dengan buah yang lain yang terdapat di atas lantai hingga selesai.
Buah Tujuh:
*Buah tujuh adalah urutan daripada buah enam.
*Dua biji buah yang ada di dalam tangan harus dilambungkan dengan serentak.
*Selepas itu, hanya satu biji buah yang akan dikutip.
*Buah ibu hendaklah disambut dengan kedua-dua belah tangan.
*Satu di tangan kiri, dan lagi satu di tangan kanan.
*Pada akhirnya, buah ibu yang dilambung terakhir juga akan disambut.
Buah Lapan:
*Campakkan kelima-lima batu di atas lantai.
*Ahli yang lain pilih satu batu untuk dilambungkan ke atas.
*Pemain itu harus ambil batu ini tanpa menggerakkan batu yang lain.
*Pemain itu harus melambungkan batu itu dan mengutip batu-batu yang lain dengan sekali gus
Timbang:
*Selepas seorang pemain sudah berjaya menyelesaikan Batu Lapan, dia haruslah timbang untuk mendapat mata.
*Kelima-lima batu seremban diletakkan di atas tapak tangan.
*Semua batu seremban dilambung ke atas sambil tangan diterbalikkan.
*Batu seremban yang telah jatuh ke lantai tidak boleh dikutip semula.
*Tangkap batu seremban yang ada di tangan
Batu yang dapat ditangkap = 1 mata
Batu yang dijatuhkan = 0 mata
Selepas menimbang, pemain ulangi semuanya dan bermula dengan Batu Satu.
Tamat Permainan:
Dalam bila-bila masa pemain itu gagal untuk menghabiskan lapan peringkat ini, pemain ini haruslah memberikan gilirannya kepada ahli yang lain.
Jika ahlinya gagal untuk menghabiskan lapan peringkat ini, pemain itu akan kembali kepada peringkat yang tidak diselesaikan bermula daripada permulaan peringkat itu.

Sejarah dan asal usul gasing


Asal Usul Perkataan Gasing
Menurut sumber dari Terengganu, gasing berasal daripada permainan memusing buah berembang. Buah berembang berbentuk bulat, licin dan agak leper. Buah yang mudah ditemui di pesisir pantai ini selalu digunakan oleh ahli silat sebagai satu latihan untuk menguatkan tangan. Di sesetengah tempat, buah berembang juga dikenali sebagai buah perepat (sonneratia alba).
Buah berembang ini juga dijadikan sebagai permainan. Dalam permainan buah berembang, buah ini akan dipusingkan dengan menggunakan tangan. Buah berembang yang berpusing paling lama dan paling ligat dikira paling gah dan pemusingnya dianggap sebagai pemenang.
Gasing dicipta berdasarkan bentuk buah berembang. Perkataan gasing berasal daripada gabungan dua perkataan iaitu ‘gah berpusing’. Gah dalam istilah permainan gasing bermaksud berpusing dengan ligat dan tegak.
Gasing Berasal Daripada Permainan Laga Telur
Sumber dari Kedah ada menyatakan bahawa permainan gasing berasal daripada permainan ‘laga telur ayam’. Permainan memusing dan melagakan telur ayam ini menjadi permainan kegemaran kanak-kanak pada masa dahulu. Kemudian barulah timbul idea untuk menghasilkan gasing mengikut rupa bentuk telur. Paksi ditambah agar gasing berputar dengan laju dan tegak. Gasing yang diputar dengan tangan kurang ligat berputar dan pusingannya tidak tahan lama. Oleh itu tali digunakan supaya dapat memusingkan gasing dengan lebih ligat dan lama.
Gasing Berasal Daripada Peralatan Memburu Binatang
Pemain gasing veteran dari Sungai Pahang menyatakan bahawa gasing dahulunya merupakan senjata untuk memburu binatang. Gasing yang berbentuk leper dan bulat akan berputar dengan ligat apabila dilemparkan ke badan binatang buruan. Idea permainan gasing dikatakan datang daripada aktiviti masa lapang para pemburu, yang pada mulanya bertujuan menguji kecekapan melempar gasing ke sasaran.

Permainan Congkak

Pada entri kali ini saya akan menunjukkan asas,peraturan dan cara untuk bermain congkak:-
Permainan congkak secara asasnya melibatkan pengiraan mudah. Mereka yang cekap mencongak mempunyai kelebihan mengumpul mata dan seterusnya memenangi permainan.
Dalam permainan congkak, terdapat dua bahan iaitu papan congkak dan buah congkak. Papan congkak berbentuk sampan dan boleh diperbuat daripada pelbagai jenis kayu dan terdapat lima atau tujuh lubang sebaris yang dikenali sebagai 'kampung' dan di kedua-dua hujungnya terdapat lubang ibu yang dikenali sebagai 'rumah'. Panjang papan congkak tujuh lubang biasanya sekitar 80 cm dan lebanya 18 cm.
Dua orang pemain diperlukan dan berkedudukan mengadap satu sama lain. Untuk memulakan permainan, biji getah atau guli akan diisikan dalam setiap kampung dengan sama banyak dan rumah dibiarkan kosong.
Dalam permainan ini, pemain akan memulakannya dengan serentak. Mereka akan mengambil buah congkak dan dimasukkan secara satu persatu buah congkak ke dalam setiap 'kampung' menuju ke rumah masing-masing menurut arah pusingan jam, sehingga salah seorang berhenti di lubang yang kosong dan dianggap mati. 'Rumah' kepunyaan sendiri terletak di lubang hujung sebelah kiri pemain. Pemain yang seorang lagi akan terus berjalan sehingga dia berhenti di lubang yang kosong. Dan selepas itu setiap pemain akan bergilir berjalan sehingga buahnya mati. Setiap pemain akan meneruskan permainan sehingga kehabisan buah congkak, dan pemain akan mengisi lubang dengan buah yang terdapat dalam lubang ibu. Pemain yang tidak cukup buah akan ditutup lubangnya, dan pemain yang menang dalam giliran sebelumnya akan memulakan permainan. Ini akan diulang sehingga salah seorang pemain tidak cukup buah bagi mengisi satu lubang sekalipun dan dianggap kalah, atau apabila kedua-dua pemain sudah bosan.
Sekiranya pemain telah membuat satu pusingan, iaitu melepasi lubang ibu dan kembali ke lubang sebelah pemain, ia boleh mengambil buah di sebelah lubang bertentangan sekiranya ia mati di sebelah sendiri. Ini dikenali sebagai "tembak".
Berikut merupakan peraturan permainan congkak yang paling biasa:
  1. Dua orang pemain duduk berhadapan menghadap papan congkak, dimulakan dengan kedua-dua pemain serentak mencapai buah di kampung masing-masing dan memasukkan buah satu demi satu di dalam lubang kampung dengan pergerakan dari kanan ke kiri hingga ke rumah dan kampung lawan.
  2. Gerakan diteruskan hingga buah yang terakhir pada tangan dimasukkan dalam kampung kosong di kawasan sendiri atau lawan dan pemain hendaklah berhenti, sekiranya buah itu jatuh atau mati di kampung sendiri. Pemain itu boleh menembak kampung lawan yang setentang dengan kampungnya iaitu mengaut kesemua buah (jika ada) di dalam kampung tersebut, hanya selepas membuat satu pusingan.
  3. Pihak lawan mengambil giliran meneruskan permainan hingga buahnya mati. Sekiranya buah terakhir jatuh di dalam rumah sendiri, pemain boleh meneruskan permainan dengan mengambil buah yang masih banyak di mana-mana kampung sendiri. Sekiranya buah terakhir jatuh di kampung kosong pihak lawan, maka permainan itu mati di situ sahaja dan pihak lawan boleh memulakan permainan seterusnya hingga mati.
  4. Sekiranya tidak terdapat sebarang buah di kampung pemain sungguhpun giliran berada dipihaknya, maka giliran untuk menggerakkan buah akan berpindah kepada pihak lawan.
  5. Setelah tamat pusingan pertama, setiap pemain mengisi semula kampung dengan buah congkak dan jika ada kampung yang tidak cukup buah, ia dianggap 'terbakar'. Kampung ini tidak boleh diisi apabila bermain pada pusingan yang kedua, ketiga dan seterusnya hingga pihak lawan mengaku kalah.

Di akhir permainan, buah congkak dikira dari rumah masing-masing. Pemenang adalah yang memiliki buah congkak terbanyak. Sekiranya jumlah buah congkak sama banyak, maka pemain dengan jumlah kampung terbakar terbanyak dikira kalah.

Sejarah dan asal usul congkak

permainan congkak dipercayai berasal daripada Negara Afrika atau Arab.Bagaimanapun, bukti tertua yang dijumpai oleh cari gali purba yang dibiayai oleh Persatuan National Geographic menjumpai kepingan batu kapur yang mempunyai dua liang selari bertarikh semenjak 5000 hingga 7000 SM dijumpai di Jordan.
Dari Timur Tengah,permainan ini tersebar ke Afrika. Congkak tersebar ke Asia melalui pedagang-pedagang Arab. Di Asia Tenggara, congkak mungkin berkembang dari Melaka memandangkan negeri ini merupaan pusat perdagangan pada waktu dahulu.Kanak-kanak di Kepulauan Carubran juga bermain congkak. Congkak dipercayai sampai di sana melalui perdagangan hamba. Di sana, congkak dikenali sebagai warri atau awari. Di Indonesia congkak dikenali dengan nama congklak,manakala di Filipina dikenali sebagai sungka.
Pada zaman dahulu,golongan istana bermainan congkak dengan menggunakan papan congkak yang berukir mewah, sementara di kalangan rakyat jelata, ia sekadar dimainkan dengan mengorek lubang di dalam tanah. Pada hari ini, congkak dimainkan di seluruh dunia. Congkak begitu popular dan diminati sehingga peminat-peminatnya mencipta pelbagai laman web di internet. Dalam laman-laman web ini disenaraikan pelbagai maklumat tentang congkak dalam budaya dan bangsa di seluruh dunia.Di zaman teknologi ini Terdapat juga permainan congkak dalam talian yang telah dicipta.
Assalamualaikum dan salam ceria!

Selamat datang ke blog permainan tradisional di Malaysia.Tujuan blog ini dibina adalah sebagai satu perkongsian kepada semua pembaca blog yang mencari carian maklumat berkaitan permainan tradisional di Malaysia seperti permianan congkak,gasing,batu seremban,guli dan sepak raga.

Di dalam blog ini saya kongsikan kepada anda secara ringkas dan padat tentang sejarah permainan tradisional dan cara-cara untuk bermain.Mungkin ada yang tidak pernah bermain permianan tradisonal seperti yang dinyatakan sebentar tadi.Maka blog ini serba sedikit dapat membantu anda semua.

Ini merupakan blog sulung saya yang mana sudah pasti mempunyai banyak kekurangan dan kelemahan dari pelbagai aspek.Saya memohon maaf sekiranya apa yang anda cari atau harapkan tidak memenuhi apa yang anda perlukan.InsyaAllah akan saya perbaiki di masa akan datang.Sekiranya apa yang saya sampaikan di dalam blog ini memberi manfaat kepada anda bolehlah kongsikan ilmu ini kepada rakan-rakan anda.